Monday, 31 December 2012

Bursa Malaysia cecah paras tertinggi

Sumber  online Berita Harian - Selasa , 01 Januari 2013,

FBM KLCI naik 7.62 mata menjelang penutup 2012
Bursa Malaysia menutup tirai 2012 dalam nada positif dengan indeks utamanya ditutup pada paras tertinggi baru 1,688.95 mata.
Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 7.62 mata atau 0.45 peratus pada penutup dagangan semalam selepas mencecah paras harian terendah 1,673.69 mata berikutan aktiviti pengambilalihan untung sesetengah pelabur yang mengambil kesempatan daripada kenaikan berterusan yang dicatatkan pada minggu lalu.
Penanda aras utama pasaran itu meningkat 158.22 mata atau 10.33 peratus daripada 1,530.73 yang dicatatkan pada penutup dagangan 2011.
Mengikut penganalisis pasaran, prospek bursa saham tempatan itu bagi seluruh 2013 ini kekal positif, tetapi berdepan dengan risiko faktor luaran yang tidak menentu.
Ketua Penyelidik InterPacific Research Sdn Bhd, Pong Teng Siew, berkata prestasi kukuh yang dicatatkan pasaran saham tempatan ketika ini antara lain didorong aktiviti mencantikkan akaun dan ia dijangka berterusan sehingga minggu kedua Januari.
Bagaimanapun, beliau berkata faktor luaran yang tidak menentu seperti kebimbangan mengenai masalah tebing fiskal di Amerika Syarikat (AS), krisis hutang di Eropah serta situasi di Jepun akan mengehadkan arah aliran meningkat pasaran tempatan selepas tempoh itu.
“Indeks FBM KLCI dijangkakan mampu mencecah paras melebihi 1,700 pada suku pertama 2013 jika momentum positif berterusan. Bagaimanapun jika faktor luaran menjadi bertambah buruk, kami menjangkakan indeks penanda aras itu boleh jatuh sehingga ke paras 1,300 mata,” katanya kepada BH ketika dihubungi semalam.

Ambil sikap berhati-hati

Pong berkata, pelabur dijangkakan mengambil sikap berhati-hati menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dengan mengurangkan pegangan mereka menjelang pilihan raya itu.
Bagaimanapun, pasaran akan melonjak selepas pilihan raya dengan jangkaan Barisan Nasional akan terus memerintah negara ini.
“Kami percaya pasaran akan bertindak balas sama seperti pilihan raya umum pada 2008 yang mana pelabur kebiasaannya akan mengurangkan pegangan mereka sebelum pilihan raya, sekali gus menyebabkan pasaran berada dalam mod pembetulan.
“Namun, mereka akan kembali semula ke dalam pasaran selepas memperoleh hala tuju yang jelas,” tambahnya.
Pong berkata faktor domestik seperti pertumbuhan ekonomi yang kukuh didorong pelaksanaan projek di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan kemasukan dana asing akan membantu bursa tempatan mencatatkan prestasi kukuh di sebalik persekitaran luaran yang tidak menentu.
Sementara itu, JF Apex Research dalam nota penyelidikannya mengunjurkan FBM KLCI akan bergerak antara 1,570 hingga 1,710 mata pada 2013 ini.
Ia berkata, prestasi pasaran tempatan pada separuh pertama 2013 dijangkakan ketinggalan berbanding pasaran serantau lain kerana pelabur bersikap berhati-hati menjelang pilihan raya umum itu.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menjangkakan pasaran saham tempatan akan melonjak semula pada separuh kedua selepas PRU-13.

Jelasnya, jangkaan pertumbuhan ekonomi AS dan negara Kesatuan Eropah (EU) yang lebih baik serta kecairan yang tinggi dalam pasaran berikutan pelonggaran dasar monetari yang dilaksanakan bank pusat utama dunia akan menggalakkan minat belian di pasaran saham.

Kemasukan dana asing
Secara keseluruhan, prestasi bursa tempatan adalah tidak menentu sepanjang 2012, dengan mencatatkan prestasi kurang memberangsangkan pada suku pertama, sebelum muncul antara pasaran saham yang mencatatkan prestasi terbaik pada suku kedua.
Kemasukan dana asing ke pasaran Asia termasuk negara ini berikutan prospek yang tidak menentu di AS dan Eropah juga membantu indeks penanda aras melonjak semula.
Dana asing melabur di pasaran tempatan melebihi RM13.50 bilion pada 2012, iaitu 7.1 kali lebih tinggi daripada yang dicatatkan pada 2011 sebanyak RM1.9 bilion.
Tahun 2012 juga menyaksikan Bursa Malaysia muncul sebagai pasaran tawaran awam permulaan (IPO) keempat terbesar dunia dengan mengatasi Hong Kong dan United Kingdom dari segi nilai jualan saham sejak dua tahun lalu, meningkat berbanding kedudukan ke-12 tahun sebelumnya.
Keuntungan korporat tempatan yang mampan serta penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) dan IHH Healthcare Bhd (IHH) turut membantu melonjakkan sentimen positif pasaran tempatan.
Kejayaan penyenaraian FGV di Bursa Malaysia pada 28 Jun 2012 juga menarik tumpuan pelabur antarabangsa terhadap pasaran modal Malaysia.
Tawaran awam permulaan (IPO) FGV yang muncul IPO kedua terbesar di dunia selepas Facebook berjaya menjana RM9.9 bilion