Terdapat berbagai jenis Dana Unit Amanah yang perlu diketahui dan difahami oleh para pelabur sebelum membuat keputusan untuk membeli unit-unit amanah ini. Ini kerana setiap dana mempunyai objektifnya sendiri bagi memenuhi matlamat kewangan yang ingin dicapai oleh para pelabur yang mempunyai pelbagai profil risiko tersendiri terhadap pelaburan.
Dana Pengembangan dan Pendapatan (Growth & Income Fund)
Dana jenis ini melaburkan sebahagian besar modalnya dalam sekuriti pasaran saham di Bursa Saham manakala sebahagian lagi dilaburkan dalam instrumen pasaran wang tempatan. Dana jenis ini paling digemari oleh orang ramai kerana pelabur dapat menikmati pulangan daripada pelaburan mereka menerusi dua cara iaitu pengembangan modal hasil daripada kenaikan harga unit ataupun dividen apabila diisytiharkan. Prestasi dana ini sebahagian besar bergantung kepada prestasi Bursa Saham kerana kebanyakan pelaburan dibuat ke atas saham-saham yang diniagakan di situ.
Dana Pengembangan atau Dana Pertumbuhan (Growth Fund)
Dari segi pelaburan dana, ia menyerupai Dana Pengembangan dan Pendapatan. Perbezaannya hanya dari segi pulangan di mana dana jenis ini lebih mengutamakan pengembangan modal berbanding pembahagian dividen. Pelabur yang melabur dalam dana ini dapat mengharapkan pulangan yang lebih menarik dari segi pengembangan modal terutama apabila pasaran saham meningkat tetapi pulangan daripada dividen adalah terhad.
Dana Seimbang (Balanced Fund)
Dana unit amanah jenis ini adalah gandingan antara Dana Pengembangan dan Pendapatan dengan Dana Pasaran Wang. Ia secara amnya melabur sebahagian daripada modal di pasaran saham manakala sebahagian lagi dilaburkan dalam instrumen pasaran wang. Antara kelebihan Dana Seimbang adalah berupaya memberi pulangan yang lebih tinggi daripada Dana Pasaran Wang manakala risikonya pula adalah lebih rendah daripada Dana Pengembangan & Pendapatan. Pemegang unit dana jenis ini dapat mengharapkan pulangan yang terletak antara pulangan instrumen pasaran wang dan pulangan di Bursa Saham.
Dana jenis ini hampir serupa dengan Dana Seimbang dari segi pelaburan yang dibuat. Apa yang membezakannya adalah hampir keseluruhan pendapatan yang diperoleh oleh dana jenis ini dalam sesuatu tahun kewangan dibayar kepada pemegang unit dalam bentuk dividen. Oleh itu, secara amnya dana jenis ini memberikan pulangan pengembangan modal yang lebih rendah tetapi pulangan daripada dividen mungkin lebih menarik berbanding Dana Seimbang.
(Islamic/Syariah Fund)
Dana Islamik atau Dana Syariah
Dana Islamik atau Dana Syariah
Dana ini menghadkan pelaburan dana dalam saham-saham dan instrumen pelaburan yang halal serta berlandaskan prinsip-prinsip syariah sahaja. Bagi memastikan pelaburan dana tidak melanggar prinsip Islam, setiap dana syariah dimestikan mempunyai panel penasihat syariah yang terdiri daripada individu yang mempunyai pengetahuan, kepakaran dan pengalaman terutamanya dalam bidang fiqh muamalah. Panel penasihat syariah ini bertanggungjawab memastikan pelaburan dana sentiasa menepati prinsip-prinsip syariah dan tidak dibuat dalam sekuriti syarikat yang mempunyai operasi berteraskan riba, perjudian, mengeluarkan dan menjual barangan haram serta mempunyai operasi melibatkan kegiatan yang mempunyai unsur gharar atau ketidakpastian seperti perniagaan insurans konvensional.
Dana Pasaran Wang (Money Market Fund)
Dana jenis ini menghadkan pelaburannya dalam instrumen pasaran wang yang dibenarkan sahaja dan tidak membuat pelaburan dalam sekuriti ataupun ekuiti di bursa saham seperti kebanyakan dana saham amanah yang lain. Dana jenis ini mempunyai risiko paling rendah berbanding dana saham amanah lain yang membuat pelaburan di pasaran saham. Namun begitu, pulangan daripada dana jenis ini juga adalah rendah kerana lazimnya pelaburan dalam instrumen pasaran wang memberikan pulangan yang rendah berbanding pelaburan di bursa saham.
Dana Bon (Bond Fund)
Dana Bon pula menghadkan pelaburannya dalam bon dan Sekuriti Hutang Persendirian (Private Debt Securities) atau lain-lain produk kewangan yang menyerupai bon dan tidak membuat pelaburan dalam sekuriti ataupun ekuiti di bursa saham seperti kebanyakan dana saham amanah yang lain. Dari segi profil risiko dan pulangan pula, ia mirip Dana Pasaran Wang di mana risiko dan pulangannya lebih rendah daripada dana saham amanah yang melabur di bursa saham.
Dana Syarikat Kecil Berkembang (Small Cap Fund)
Dana jenis ini mendefinasikan dan mengambil kira saiz syarikat di mana modal dana itu dapat dilaburkan. Sebagai contoh, terdapat dana yang menghadkan pelaburan dalam sekuriti syarikat yang mempunyai permodalan saham (market capitalization) tidak melebihi RM800 juta. Dana jenis ini lazimnya berisiko lebih tinggi berbanding dana saham amanah yang lain. Ini kerana dana ini melabur dalam sekuriti ataupun ekuiti syarikat kecil yang sedang berkembang dan selalunya masih belum stabil berbanding syarikat besar.
Dana Indeks Ekuiti (Equity Index Tracking Fund)
Dana jenis ini juga dikenali sebagai dana pasif di mana portfolio dana dirangka supaya prestasi dana itu seiring dan mencerminkan prestasi sesuatu indeks di bursa saham. Sebagai contoh, terdapat beberapa dana saham amanah yang objektifnya adalah bagi mengikut prestasi Indeks Komposit Bursa Saham. Dana jenis ini membuat pelaburan di beberapa saham (kaunter) yang terdapat dalam sesuatu indeks.
Dana Modal Dijamin/Dilindungi (Guaranteed/Protected Fund)
Dana ini bertujuan memberi jaminan pada modal permulaan semasa melabur buat kali pertama. Ia bersifat tertutup iaitu selepas selesai satu jangka masa ataupun apabila sejumlah unit tertentu sudah dibeli, dana ini akan ditutup. Apabila hendak menjual balik, pelabur kadangkala dikenakan yuran yang dipanggil exitfee. Apabila pelabur ingin menebus dana sebekum sampai masa matang, yuran penalti dikenakan.
Dana Global (Global Fund)
Seperti namanya, dana ini cuba memberikan peluang kepada pelabur yang ingin mempelbagaikan portfolio mereka dari segi negara dan ekonomi yang berbeza dengan situasi tempatan.
Dana Informasi & Teknologi (Info and Tech Fund)
Sesuai dengan namanya, dana jenis ini melaburkan aset dalam ekuiti syarikat industri teknologi dan informasi seperti infrastuktur internet, pengeluar komputer, pengeluar semikonduktor dan telekomunikasi.
Dana Hartanah (Property Trust Fund)
Dana ini agak baru berbanding dana-dana di atas. Pengurus dana melabur dalam sektor hartanah dan keuntungan yang diperoleh daripada kenaikan nilai hartanah serta kutipan sewa. Jangan keliru dengan REIT (Real Estate Investment Trust), di mana REIT bukan unit amanah sebaliknya ia diniagakan seperti saham biasa.
Dengan peredaran masa, pelbagai dana akan direka bentuk dan dijual kepada pelabur. Sebagai pelabur, kita tidak perlu mengetahui secara mendalam semua jenis dana di atas, malah mungkin ada di antaranya yang kita tidak akan beli sepanjang hayat. Apa yang penting adalah, tidak kira apa juga dana, ia besar kemungkinan salah satu ataupun kombinasi gabungan lima jenis dana berikut:
- Dana Pengembangan - Risiko tinggi maka potensi pulangan tinggi.
- Dana Pendapatan - Risiko rendah maka potensi pulangan rendah.
- Dana Pasaran Wang - Risiko rendah maka potensi pulangan juga rendah.
- Dana Bon - Risiko rendah tetapi ada situasi membolehkan pulangan menjadi sederhana.
- Dana Indeks - Risiko sederhana dan tinggi tetapi kosnya paling rendah.
Ada pelabur yang hanya menumpukan kepada tiga jenis dana sahaja iaitu dana pengembangan, dana pendapatan dan dana pasarn wang. Falsafah mereka berdasarkan pada sifat asas pelaburan iaitu sebarang pelaburan dapat dipecahkan kepada yang berisiko tinggi, sederhana dan rendah. Ini kerana, lebih sedikit bilangan dana, maka lebih mudah kita memantau dan memahami sifat-sifatnya.
Sebagai contoh, katakan pelabur mempunyai profil risiko sederhana dan berminat melabur RM15,000 dalam unit amanah. Beliau boleh melabur kesemuanya dalam dana seimbang atau gabungan tiga dana iaitu dana pengembangan (RM5,000), dana pendapatan (RM5,000) dan dana pasaran wang (RM5,000).
Inilah yang dinamankan porfolio pelaburan unit amanah yang lebih fleksibel dan mampu memberikan pulangan yang lebih tinggi daripada membeli hanya satu jenis dana. Syaratnya, kita sebagai pelabur perlu tahu mengurus dan memantau portfolio ini sama ada secara sendirian ataupun dengan bantuan penasihat atau perunding pelaburan